Monday, December 26, 2011

Cuti Cuti Pahang (Bhg. II)

Assalamualaikum.

Pada hari kedua saya dan keluarga bercuti di Pahang, kami telah ke salah satu kawasan pantai yang agak popular di sini iaitu Teluk Cempedak. Pengunjung-pengunjung di sini rata-ratanya terdiri daripada penduduk tempatan dan jarang saya dapat lihat kewujudan warga asing di sini. Mungkin agak berbeza dengan kebanyakan destinasi-destinasi percutian di Melaka. 

Teluk Cempedak
Memandangkan sekarang ini musim tengkujuh, ombak di pantai ini kelihatan agak besar dan 'ganas'. Tapi ramai je yang bermandi-manda di sini ketika itu. Antara yang menarik disini ialah terdapat banyak gerai-gerai yang menjual barang-barang kraftangan. Jom lihat antara gambar-gambar yang saya sempat upload..


Pemandangan di sekitar Teluk Cempedak










Beberapa gerai yang menjual hasil kraftangan

Selesai jalan-jalan di Teluk Cempedak, kami meneruskan perjalanan untuk mencari gerai keropok lekor dan sata yang sedap di sini.. =)

Gerai Mek Na
Salah seorang penduduk tempatan telah menyarankan kami untuk menuju ke Gerai Mek Na kerana kualiti keropok dan satanya yang enak. Macam-macam ada di sini, antaranya keropok lekor, sata, udang goreng tepung, pisang goreng dan banyak lagi kuih muih tempatan negeri Pahang. Ternyata, saya akui memang keropok lekor dan sata di gerai ini SEDAP. Kalau ada yang bercuti di pahang nanti bolehlah jenguk-jenguk gerai ini ya.

Gerai Mek Na 



Sedapppp. Tapi saya lambat ambil gambar, banyak yang sudah masuk perut..=P


Ya inilah sata yang saya maksudkan


Bahan utamanya adalah isi ikan dan digaul dengan ramua-ramuan yang lain. Hurmmm best best..=)


Keropok lekor yang memang terasa sangat sangat ikannya, dan udang goreng tepung. 

Setelah makan-makan, kami pun pulang ke rumah ibubapa mertua abang saya. Mak mertua abang saya masak ikan toman yang kami beli di Tasik Chini semalam masak lemak cili padi. Fuhhh nampak macam sedap je tapi apa kan daya saya memang tak makan ikan air tersebut. Haha. Takpa takpa..Disamping ikan toman masak lemak cili padi, ada juga lauk sayur (tak pasti sayur apa) masak lemak cilipadi letak tempoyak dan petai, lauk ayam masak kari, ikan goreng dan sambal belacan. Memang kecur liur dibuatnya..=')

Secara ringkasnya, pada keesokan tengahari, kami pun bertolak pulang ke rumah dalam keadaan hujan yang agak lebat. 

p/s : Teluk Cempedak dahulunya pernah mencatatkan beberapa kematian kerana ada antara kawasan-kawasannya yang agak bahaya untuk bermandi-manda di situ?

Cuti Cuti Pahang (Bhg. I)

Assalamualaikum.

Dan dengan ini saya menggagahkan jua jari jemari untuk mengupdate blog setelah lebih kurang sebulan lebih tak berupdate, Padahal dalam kepala rasa banyak je bahan yang mahu diupdate. Hehe. Oklah, jom mula cerita. Lebih kurang 2 minggu yang lalu, saya dan keluarga pergi bercuti di Pahang. Mulanya, abang saya ajak kami jalan-jalan di rumah ibubapa mertuanya di Pekan, Pahang. Langsung kami pun turut serta ke sana selama 3 hari 2 malam dirumah ibubapa mertua abang saya. Dalam perjalanan, kami pun dok fikir-fikir di mana agaknya destinasi percutian yang menarik di Pahang, negeri yang terluas di Semenanjung Malaysia ini. Pulau Tioman menjadi destinasi pilihan. Sewaktu di dalam kereta, kami dah siap search dalam internet harga kos tambang bot dari Tanjung Gemok ke Pulau Tioman. Tapi malangnya, sewaktu berhenti di sebuah agensi pelancongan berdekatan, kami dimaklumkan semua bot tidak dibenarkan ke Pulau Tioman kerana laut bergelora. Aisehhh lupa lah pulak sekarang kan musim tengkujuh. Ish ish...

Agenda ke Pulau Tioman batal dengan serta merta. Kami meneruskan perjalanan ke Pekan seperti biasa. Dalam perjalanan, kelihatan pula papan tanda simpang ke Tasik Chini. Jadi, ayah pun dengan pantas menyarankan agar kami ke sana!

Tasik Chini
Bagi saya Tasik Chini amat sesuai bagi mereka yang suka kan ketenangan, minat memancing & penggemar ikan air tawar dan juga bagi mereka yang mahu melihat sendiri perkampungan dan cara hidup orang asli. Secara kasarnya pada pandangan saya destinasi ini masih agak kurang dibangunkan lagi dan agak kurang pelancong. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini ialah memancing dan menaiki bot. Berenang? Oh mungkin tidak.. 

Ada banyak pakej untuk menaiki bot ini bergantung kepada jumlah penumpang, tempoh masa dan jumlah tasik yang dilawati. Pakej yang kami sekeluarga pilih berharga RM80 untuk 6 orang penumpang selama 1 jam (dan untuk 10 buah tasik kalau tak silap). Jom tengok antara gambar yang sempat saya upload untuk tatapan pembaca.


Pemandangan sekitar Tasik Chini, Pahang


Ini merupakan antara tumbuhan utama yang terdapat disekitar tasik ini, bukan mengkuang ni, lupalah namanya.










Ini juga antara tumbuhan utama yang terdapat di tasik ini, iaitu lumut.




Setiap kali bot lalu dekat dengan tumbuhan ini, baunya yang wangi seakan-akan bau pandan akan menusuk-nusuk hidung.

Itu rumah untuk penangkap ikan

Bersih. Kami tiba di perkampungan orang asli yang terdapat di sana


Selamat datang ke Kampung Chenderoh



Uish. Rezeki rezeki..Sesampai kami disana nampak pula seorang lelaki asli ni sedang menyiang ikan. Ikan baru naik nie.

Ikan Toman. Tapi malangnya saya tak makan ikan air tawar. Haha.


Jeti yang digunakan penduduk perkampungan asli di sini.

Kalau nak tahu, ikan toman yang dekat gambar tadi sebenarnya bukan untuk dijual. Tapi memandangkan kami ni bernasib baik, orang asli tersebut telah bersetuju untuk menjual ikan tersebut kepada kami. Maklumlah, orang-orang asli di sini mestila dah selalu sangat makan ikan-ikan macam ni kan. Cuma kami ni je yang over excited. Jadi, ayah saya la yang deal dengan orang asli tu.

"Boleh jual tak ikan ni?"

"Boleh lah kalau mahu"

"Berapa harga?"

".....lima ringgit"

Huh. Lepas tu kami semua terdiam termasuklah saya. Tapi dalam hati, perghhhh murahnya! Huhu. Kalau dekat pasar mahu puluh-puluh ringgit harga ikan macam ni. Setelah urusan jual beli selesai, kami menuju ke bot dan meneruskan perjalanan sehingga ke jeti, dan meneruskan lagi perjalanan menaiki kereta ke rumah ibubapa mertua abang saya. Agak seronok juga la, sebab akhirnya merasa juga saya ke tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia ini.. =)

p/s : Destinasi menarik yang kami tuju pada hari kedua di Pahang akan diceritakan pada Cuti Cuti Pahang Bhg.II selepas ini insyaallah. 

Monday, November 21, 2011

Tahniah Harimau Muda

Assalamualaikum.

Stress dibuatnya. Owh begini rupanya perasaan sebilangan besar kaum Adam yang suka menonton perlawanan bola sepak. Yela stress bila tengok bola dapat kat pihak lawan. Lepas tu diasak-asak lagi dek pihak lawan. Mana tak stress. Hehe. 

Jujurnya, saya bukannya seorang pengikut perkembangan bola sepak baik dalam negara mahupun luar negara. Tapi hari ini, berkesempatan menonton perlawanan bola sepak bawah 23 Sukan SEA Malaysia menentang Indonesia dengan Ayah, Bangah & Afiq. Keputusannya Malaysia menang. Tahniah Harimau Muda. =)


p/s : Auummmmmm...

Thursday, November 3, 2011

Sunyi

Walaupun sudah bekerja, saya masih dapat rasa ada sesuatu yang kurang.

Suatu hari pernah terlintas di fikiran untuk mengambil seorang baby sebagai ANAK ANGKAT. haha. Apa pendapat anda? Logik tak?

p/s : Kalau tanya mak saya, confirm lah tak! =P

Thursday, October 27, 2011

Pilihlah Antara 2

Assalamualaikum.

Dalam perniagaan, jika kita tidak jatuh, kita pasti akan memperoleh keuntungan tidak kiralah besar atau kecil keuntungan yang diperoleh. Seorang peniaga/ahli perniagaan yang berhati-hati dan mempunyai persiapan secukupnya insyaallah akan beroleh kejayaan dan begitu juga sebaliknya..

Dalam sebuah pertandingan, jika tidak kalah, jawapan yang sebaliknya ialah kita pasti akan menang tidak kiralah kemenangan yang kecil atau besar. Peserta yang gigih berusaha insyaallah akan beroleh kejayaan dan begitu juga sebaliknya..

Dalam sebuah perkahwinan, jika tidak diakhiri dengan perpisahan, pasangan suami isteri tersebut pasti akan hidup bersama sehingga ke akhir hayat. Pasangan suami isteri yang berusaha mempertahankan rumahtangga mereka dengan menanam sikap bertolak ansur, saling memahami dan sebagainya akan beroleh kebahagiaan dengan izin Allah..

Dalam kehidupan seharian kita, jika tidak diuji dengan kesakitan, maka insyaallah kita akan hidup sihat sesihat sihatnya. Syukur alhamdulillah.

Begitu juga dengan pengakhiran hidup seseorang manusia. Jika ianya tidak diakhiri dengan sesuatu yang baik, maka yang sebaliknya pula akan terjadi. Masuk ke syurga, atau neraka.

Apa-apa pun semuanya terletak pada diri sendiri. Pilihan sudah terpampang di hadapan mata, cuma mahu atau tidak saja.

Kadang-kadang terasa pelik sendiri, kenapa walaupun sudah tahu sesetengah perkara itu salah dan memang jelas mendatangkan dosa, tapi diri masih lagi melakukan kesalahan yang sama. Walaupun macam-macam jenis manusia sudah memberi peringatan, hati masih lagi kaku, peringatan itu langsung tidak mendatangkan kesan kepada diri. Bukan itu saja, malah dijadikan peringatan itu umpama satu bentuk gurauan.


Saya selalu terfikir, bila agaknya saya dan awak yang degil ini mahu berubah.

Mungkin saya dan awak yang degil perlu diberitahu bila waktunya kita akan pergi menghadapNya, lepas tu baru nak berubah? Ataupun saya dan awak yang degil perlu diberitahu yang dunia akan kiamat dalam masa beberapa jam saja lagi, baru mahu berubah? Bukan? Jadi bilakah? Esok? Lusa? Bila dah tua nanti? Sempat tak agak-agaknya? Persoalan-persoalan sebegitu yang selalu membuatkan saya takut. Mahu tidur malam pun susah kerana teringatkan dosa-dosa yang lalu..



p/s : Baru-baru ini, saya amalkan minum jus MonaVie, parents yang suruh minum. Minum 30ml 2 kali sehari. Apa yang pasti, jus ini bukannya boleh membuatkan saya hidup lebih lama, cuma mungkin dia boleh menentukan seberapa sihat saya boleh hidup, itupun hanya dengan izin Allah..

Monday, October 24, 2011

ANEH

Assalamualaikum.

Dari hari ke hari, masih soalan sama yang gemar diajukan. Haish...

.................................

#1
Mai : "Zana dah ada boyfriend?"

Saya : "Mana ada Kak Mai...heee"


#2
Sya : "Dah ada boyfriend ke sekarang?"

Saya : "Eh mana ada Kak Sya...heee"

Sya : "Ah kau jangan nak menipu takkan lah takde lagi bla bla bla "

Saya : "Betullah kak..mana ada saya tipu..huhu " [tak ada faedahnya pun kalau nak tipu lah huhu]


#2
Nik : "Ada boyfriend dah?"

Saya : "Mana ada Kak Nik...heee"

Nik : "Haa yeke takde??Eei rugi tau.."



#4
Madam Sue : "Eh you dah ada boyfriend ke?"

Saya : "Mana ada madam..heee.."

Madam Sue : "La yeke. Kenapa takde lagi. Patut at your age nie dah ada dah tau.."

.................................

Apa ANEH sangat ke kalau saya tiada teman lelaki saat ini???


Bukan berpacaran antara dua lelaki & perempuan tanpa ikatan yang halal itu boleh membawa kepada maksiat ke??? Maksiat tu haram kan???

Dunia kini sudah terbalik. Remaja yang berpacaran lelaki dan perempuan itu dianggap normal, manakala yang berstatus single itu dianggap pelik!

Renung-renungkan~

Mind you that nama-nama dan watak dalam dialog di atas adalah rekaan semata-mata berdasarkan kisah sebenar.

Sekian. Bersurai.

Thursday, October 20, 2011

Keindahan BersamaMu

Assalamualaikum.

Kali ini saya mahu update satu cerita lama. Tak la lama sangat tapi mungkin agak sudah basi sedikit kerana peristiwa ini berlaku pada bulan Jun 2011 yang lalu. Waktu itu saya agak tidak menitikberatkan perihal meng'update' blog kerana kekangan masa diburu kerja-kerja tesis. Sekarang ini ada masa terluang sedikit jadi haruslah update blog ini cepat-cepat hehe.

Event ini diberi tajuk Keindahan BersamaMu dan berlangsung di sekolah lama saya iaitu Sek. Men. Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh, Melaka. Dikelolakan oleh beberapa orang pelajar daripada beberapa buah universiti tempatan antaranya UTeM, UTP, UMP, UM dan Manipal Medical College Melaka. Pelajar-pelajar yang menyertai program ini adalah terdiri daripada pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2011.

Berikut merupakan antara gambar-gambar program Keindahan BersamaMu hasil sumbangan ikhlas daripada saudara Muhammad Aminuddin ..



Waktu nie rasa sebak tengok dorang berpelukan minta maaf dekat kawan masing-masing




Pelajar-pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM 2011



Bermaaf-maafan & hargailah sahabat anda selagi mereka masih ada..






p/s : Baru dapat berita yang Nenek Lisut sudah meninggal dunia lebih kurang jam 6 petang tadi. Al-fatihah.

Selamat Pagi Cikgu

Assalamualaikum.

Dah lama rasa tak meluahkan perasaan dekat blog nie. Yang sebenarnya saya tengah bersabar menunggu gambar-gambar konvo untuk update blog ini. Perihal konvo, tak reti sangat nak cerita banyak-banyak sebab rasanya mana-mana event konvo pun lebih kurang sama saja kan situation dia. Jadi biarlah kelak gambar saja yang berbicara perihal majlis konvo saya yang lalu. Sekian tamat cerita konvo. Sambung di entri lain pula nanti ya.


Hurm. Selamat melalui fasa hidup yang baru kepada saya.


Pabila lidah terasa kelu..
Hati mula berbicara..
Kencang meluahkan apa yang terbuku..
Sedangkan mulut terkunci..
Tidak pasti apa yang patut dituturi..
Wahai hati..teguhlah..
Kau harus pasti..
Bahawa sesuatu yang baik..
Tidak mungkin kan datang dengan semudah itu..



p/s : Sekarang masih lagi dalam proses untuk membiasakan diri sebagai seorang guru. Terima kasih sangat sangat kepada yang banyak membantu & memberi sokongan =)

Wednesday, October 19, 2011

Ribut 2011

Lokasi : Rumah penulis & kawasan sekitarnya
Tarikh kejadian : 17 Oktober 2011

Gambar-gambar berikut sebenarnya baru diambil petang tadi iaitu selepas sedikit kerja-kerja pembersihan dilakukan. Kalau ikutkan gambar yang diambil betul-betul beberapa minit lepas dilanda ribut agak lebih tragis dengan dedaunan, pelepah pokok pinang, buah mangga bergolek-golek sana sini, 2 batang pokok tumbang, bumbung buaian dan atap genting rumah terbang dan lain-lain. 

Pokok durian tumbang di belakang rumah



Kesannya, tahun depan tak dapatlah merasa buah durian dari pokok nie lagi  =(



 Bumbung buaian depan rumah (tengok gambar bawah) terbang..







Tinggal beberapa nipah je pokok pisang kipas nie, yang lain semua patah ditolak angin



Beberapa keping atap genting koridor bilik kaklong juga terbang



Salah satu daripada beberapa pasu yang tergolek dan pecah 


Alhamdullilah mujur budak yang cute tetapi garang nie dengan anaknya tak terbang sekali..








Itu saja untuk kali ini. Assalamualaikum.


p/s : Thanks kaklong bagi pinjam camera. Dapat je camera petang tadi cecepat update blog. Cameraku entah mana menghilang cari-cari tak jumpa. Huhu.

Sunday, September 25, 2011

Tiada Apa Yang Mudah

Assalamualaikum.

Hari-hari yang saya lalui kebelakangan ini mengubah persepsi saya kepada puan puan yang kini sedang bergelar suri rumah tangga. Dulu saya pernah beranggapan, jadi suri rumah ini mesti best boleh rileks rileks saja duduk rumah buat kerja rumah saja dan jaga anak-anak, itu saja. Padahal belum rasa belum tahu. Hakikatnya bukan begitu lebih-lebih lagi bagi suri rumah tangga yang sudah mempunyai 3 or 4 orang anak yang sedang giat membesar. Bagi yang ada bibik di rumah mungkin terkecuali. Eh jangan salah faham, entri kali ini bukan nak bagitahu yang saya kini sudah berkahwin dan menjadi surirumah. Yang sebenarnya saya dipertanggungjawabkan untuk menggantikan tugas kakak saya yang kini sedang dalam keadaan yang tidak mengizinkannya untuk menjaga 3 orang anak tidak termasuk seorang newborn baby yang baru berusia 16 hari. Senang cakap kira beliau sedang berpantang la =)

Transformasi hebat berlaku kepada diri daripada menjalani kehidupan sebagai seorang yang 'single' kepada 'so called married'. Pernah tengok cerita 3 Weeks 3 Kids? Lebih kurang begitulah kisah hidup saya sekarang ini. Bukan senang tau. Lagi-lagi untuk memahami kerenah sorang sorang anak buah saya ini. Contohnya yang si abang suka makan lain, kakak suka makan lain, adik suka makan lain, jadi kadang-kadang sekali masak perlu ada pelbagai lauk, kalau tak ada pula yang merajuk tak makan. Bukan macam kita dulu dulu, mak masak apa semua main ngap saja kan. Hehe.

Apa-apa pun life sekarang ini agak menarik juga. Walaupun kadang-kadang rasa macam masa untuk diri sendiri pun takda, kesibukan melayan kerenah budak-budak ini dan menguruskan kerja-kerja rumah membuatkan fikiran saya tidak terlalu tertumpu kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.. Ada hikmahnya tu..

Peperiksaan final Hafiz dan Izzah dah dekat, saya pula yang terasa bahangnya. Mana tak nya tengok dorang duk buat latihan hari-hari gaya macam orang nak ambil SPM dah padahal Hafiz baru saja darjah 4 dan Izzah darjah 2. Haha. Good luck anak-anak buahku..semoga kalian membesar menjadi orang-orang yang berguna kelak.. Amin~

Sampai sini dulu. Assalamualaikum =) 

p/s : Tag line untuk hari ini, 'saya harus berubah!'.

Saturday, September 17, 2011

Kisah Ini Hari

Assalamualaikum.

Hari ini selamat sudah seorang kawan saya melangsungkan perkahwinan dan bergelar seorang isteri. Semasa di majlis kahwin dia tadi, terserempaklah dengan beberapa orang kawan-kawan sekolah rendah yang rasanya hampir 11 tahun tak berjumpa. Muka masing-masing dah berubah. Terpegun tengok perubahan beberapa orang kawan lama tadi. Diorang kata muka saya dah berubah. Tang mana yang berubah tue tak tahu lah. Owh tadi ada dapat jemputan walimah lagi, Shida kawan lama waktu sekolah rendah dulu ingin melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini. Tahniah tahniah..=)

Hmmm itu saja coretan ringkas pada kali ini. Alhamdulilah tercapai jua hasrat untuk meng'update' blog pada hari ini. Hehe. 

Sekian assalamualaikum.

p/s : Terima kasih kepada mereka yang wish selamat hari lahir terutamanya yang wish pada tepat pukul 12.02 tengah malam. Saya sungguh amat sangat terharu. Bukan apa, sejak sudah tamat belajar ini (ditambah pula dengan ketiadaan facebook), memang sikit saja birthday wish yang diterima. Jauh beza dengan time time belajar dulu. Tak sangka, walau dengan ketiadaan facebook & takda yang 'tukang' ingatkan birthday dalam kelas macam dulu-dulu, anda-anda ini masih lagi ingat tarikh birthday saya. =')   

Friday, September 9, 2011

Selamat Hari Raya & Sedikit Renungan

Assalamualaikum.

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua. Dengan rasa rendah diri dan seikhlas hati, saya benar-benar ingin memohon maaf jika ada keterlanjuran saya baik yang nyata mahupun yang tersembunyi kepada anda semua. Apa yang pasti,  Ramadhan yang lalu mempunyai signifikannya yang tersendiri kepada diri saya. Jika kita mahu melakukan sesuatu yang baik itu, janganlah ditangguh-tangguhkan, takut-takut tidak sempat pula untuk melakukannya kelak. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi satu video yang bagi saya amat amat amat menyentuh hati. 





Begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah video di atas. Selain daripada memperbaiki amalan, bagi saya, satu pengajaran yang agak penting ialah janganlah kita sebagai seorang islam mencaci hina sesetengah orang yang tidak menutup aurat kerana mana tahu suatu hari nanti dia akan berubah menjadi lebih baik dari diri kita. Selayaknya, kita harus mendoakan agar mereka berubah ke arah yang lebih baik. Seperti yang kita maklum, dalam era dunia tanpa sempadan sekarang ini, kita bebas untuk "berbicara" di alam maya sama ada dalam Facebook, Twitter, Blog dan lain-lain. Pernah tak kadang-kadang  kita terjumpa dengan kenyataan/status/entri yang berbaur kutukan/tohmahan/cacian/fitnah secara terang-terangan  yang secara tidak langsung mengaibkan sesebuah pihak/individu?. Sedangkan Allah tidak suka orang-orang Islam membuka aib orang lain. 


Sabda Rasulullah S.A.W : "Barangsiapa membuka aib saudaranya, Allah akan membuka aibnya di akhirat". 


Contoh 1

Jika di Facebook, kita lihat seorang wanita islam yang lengkap menutup aurat tetapi bergambar dengan aksi-aksi yang mengghairahkan. Lalu keluarlah komen-komen yang mengutuk-ngutuk/mencaci wanita itu secara terang-terangan. Padahal, bukankah mengaibkan seseorang itu dosa hukumnya? Banyak lagi cara lain untuk menegur wanita terbabit, mungkin boleh dilakukan dengan cara menghantar emel yang mana hanya si penegur kesilapan dengan si pembuat kesilapan saja yang hadir dalam perbualan tersebut.


Contoh 2

Kadang-kadang dalam perbualan bersama rakan-rakan tanpa sedar kita sering terlanjur mengutuk-ngutuk sesetengah artis disebabkan tidak mengikut syariat islam yang sewajarnya. Pada pendapat saya, jika tidak suka pada cara dan tingkah-laku sesetangah artis itu, janganlah jadikan mereka sebagai bahan umpatan dan penambah dosa kita, sebaliknya ikhlaskanlah diri kita untuk mendoakan agar mereka berubah ke arah yang lebih baik. Itu adalah lebih baik. 

Sebenarnya, entri kali ini agak tidak kemas isi nya [macam entri sebelum sebelum ini kemas pula kan hehe ] kerana kekangan masa sekarang sudah pukul 11 tepat dan 'anak-anak' sudah mahu pulang dari sekolah pada pukul 12 tengahari ini sedangkan lauk satu pun tak masak lagi. Aish.

Semoga amal ibadah kita di bulan Ramdhan yang lalu dapat diteruskan lagi hingga ke bulan-bulan seterusnya. Bersegeralah untuk bertransformasi ke arah yang lebib baik dan hindarkanlah diri dari mengata-mengata yang buruk-buruk tentang orang lain baik di alam maya mahupun di alam nyata. Yang baik datang dari Allah yang buruk datang dari diri saya sendiri. 

Sekian. Assalamualaikum =)


p/s : Bersegeralah bejumpa dengan doktor jika anda dapati ada yang tidak kena pada kesihatan/badan anda!
  

Wednesday, August 24, 2011

Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya

Assalamualaikum.

Di surau tadi, sekali lagi adik kecil yang bertelekung gambar strawberry hijau solat di sebelah kiri saya. Kelmarin pun dia di sebelah kiri saya juga. Sampai Mak Cik Timah yang confuse pun tanya, "Eh nie anak buah kau jugak ke?". Huhu. Comel betul adik nie. Tak tipu. Jemaah wanita yang lain pun asyik sibuk menoleh-noleh pandang kat dia. Mana tak nya, elok je dia ikut makmum yang lain solat. Masa solat tak pandang kiri kanan pun macam kebanyakan budak-budak sebayanya yang lain [saya tahu sebab saya ada anak buah yang lebih kurang sebaya dengan dia]. Tapi kelmarin tak sempat nak tanya dia apa-apa, sebab imam laju sangat. Tadi masa saya bangun nak solat sunat ba'diah, dia pun ikut saya bangun, padahal makmum yang sebelah kiri dia tak bangun pun. "Aik. Budak nie ikut aku sembahyang ke? Mak dia mana?" Gerutu saya dalam hati. Macam tak percaya pulak budak nie berani solat bersama-sama jemaah yang lain tanpa mak atau penjaga dia. Lepas beri salam, saya cepat-cepat tanya mak dia mana. Katanya, "mak kat rumah". "Owh, pastu datang dengan siapa tadi nie?", saya tanya lagi. "Dengan ayah, abang dengan adik lelaki", jawab adik bertelekung strawberry dengan muka innocentnya. Hehe. Lepas bersoal jawab, dapatlah korek serba sedikit identiti sebenar adik nie. Namanya Fadhilah, berusia enam tahun..~

Bagusnya si adik Fadhilah nie. Kecik-kecik dah pandai bawa diri, sorang-sorang solat dalam kalangan jemaah wanita yang rata-ratanya jauh lebih berusia dari dia. Mungkin itu adalah cara ibu bapanya mahu mendidik anak supaya dari kecil lagi sudah biasa beribadah di surau/masjid supaya apabila dewasa kelak, tidak akan berasa janggal/malas/segan [atau seumpamanya] untuk melakukan perkara yang sama. Bak kata pepatah, MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA. 

Tinggal beberapa hari lagi, Ramadhan akan berlalu. Cemburu melihat orang lain berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah di saat-saat akhir Ramadhan, sedangkan diri ini rasanya masih ditakuk lama. Rasa baru sedikit sangat amalan yang dilakukan jika dibandingkan dengan orang lain T_T 

Ok. Tangguhkan dulu pertemuan kita pada kali ini. Assalamualaikum.

Wednesday, August 17, 2011

Memori Zaman Persekolahan

Assalamualaikum.

Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah boleh dikatakan saya selalu bertukar sekolah. Sekolah rendah saya yang pertama ialah Sek.Ren.Keb. Bakri Batu 2 Muar, Johor. Tak banyak sangat kenangan yang saya ingat sewaktu di sana. Antara yang masih saya ingat ialah saya merupakan seorang pengawas bertudung pink yang garang [ini kata jiran saya la]. Kemudian pada darjah tiga, saya sekeluarga telah berpindah ke kampung. Bersekolah di kampung juga semestinya mempunyai banyak kenangan. Sewaktu darjah enam, saya berkawan baik dengan Najwa dan Ruqayyah. Najwa nie dia pengawas manakala saya dan Ruqayyah pula merupakan pustakawan. Antara kenangan yang paling saya ingat ialah saya selalu teman Najwa jaga gate kecik yang menjadi laluan keluar/masuk pelajar ke kawasan sekolah, alah biasalah dulu-dulu masa sekolah kan ada pengawas jaga kat gate sekolah, kan? Haha. Padahal saya bukannya pengawas pun. Hubungan antara saya dan Najwa semakin renggang bila dia berpindah ke MRSM manakala saya dan Ruqayyah pula ke SMA. Owh. Cerita pasal Najwa, saya baru terima mesej yang dia mahu melangsungkan perkahwinan pada 17 September ini. Eh macam biasa je dengan tarikh kahwin Si Najwa nie? Ish ish pandai betul dia pilih tarikh. Alhamdulilah. Sampai sudah jodoh kawan baik saya masa zaman kanak-kanak dulu. Giliran saya pula entah bila lah agaknya..Hmm..[sambil termenung jauh]..=)

Dua tahun di SMA Al-Asyraf, sangat-sangat banyak kenangan yang tersemat di hati saya. Pahit manis semua ada. Waktu di sekolah ini, saya dan Ruqayyah masih lagi berkawan baik. Bukan saja baik, tetapi sangat sangat baik. Boleh kata macam belangkas lah. Pergi mana-mana selalu berdua. Selalu kalau saya kat mana-mana tanpa dia, orang akan tanya "Qayah mana?". Ustazah dan ustaz di sekolah pun ada yang tahu akan keakraban kami. Sekarang pun, kalau tercontact balik kawan-kawan lama dari SMA, even dari senior pun, diorang akan tanya pasal Qayah kat saya. Hehe.. Owh. Ada satu rahsia yang saya nak bagitahu, dulu waktu di asrama, saya pernah cemburu bila beberapa kali Qayah pergi makan di Dewan Makan dengan kawan lain tanpa kehadiran saya. Haha. Itu lah, dah rapat sangat bila tak dapat pergi makan sama-sama pun nak cemburu. Cemburu buta di zaman kanak-kanak. Hihi. Tapi Qayah tak tahu pun pasal nie sebab saya malu nak bagitahu dan kami terus berkawan baik macam biasa sampai la pada satu hari waktu cuti sekolah saya ambil keputusan untuk bertukar ke sekolah harian biasa. 

Di Sek.Men.Dato' Dol Said, saya masuk kelas Rancangan Khas sebab mahu menyambung belajar subjek bahasa arab. Yang adventurenya kelas ini ialah saya merupakan satu-satunya budak perempuan di dalam kelas bahasa arab tersebut, dalam erti kata lainnya, satu-satunya budak perempuan yang ambil 9 subjek untuk PMR tahun 2004. Bayangkan, dalam kelas bahasa arab yang seramai kira-kira 30 orang murid lelaki itu hanya saya satu-satunya perempuan di dalamnya. =') Akibatnya, saya selalu memberi motivasi pada diri sendiri supaya tak lemah semangat. Ok. Selepas PMR, iaitu pada awal tahun tingkatan empat, saya berpindah pula ke sebuah sekolah berasrama penuh. 

Awal-awal masuk ke Sek.Men.Sains Muzaffar Syah, saya rasa seperti orang asing atau lebih tepat lagi seperti makhluk asing. Hehe. Kerana apa. Kerana ke mana saya pergi saya dapat rasakan seperti ada mata-mata pelajar tingkatan empat yang sudah sedia ada belajar di sekolah ini semenjak dari tingakatan satu memandang semacam ke arah saya yang merupakan  seorang pelajar tingkatan empat yang baru masuk ke sekolah ini. [atau mungkin perasaan saya je]. Tapi itu cuma waktu awal-awal masuk, dah lama-lama tue makin ok bila sudah kenal perangai masing-masing. Kenangan yang paling tak dapat saya lupakan ialah sewaktu study bersama-sama dengan kawan. Hampir setiap malam, saya akan ke bilik Fana dan Zizie yang baik sangat sangat bagi tumpang bilik diorang yang cerah untuk saya stay up dan bermalam di sana. Dan kebiasaannya pada setiap hujung minggu, saya, Nad dan Wadah akan bersama-sama even kadang berkongsi pinggan makan masakan yang dimasak oleh mak Nad. Ha mak Nad kan, kalau masak gulai lemak akan pakai susu rendah lemak instead of santan okay. Hehe. Alhamdulilah juga mungkin sebab dah selalu sangat berkongsi makan berkongsi cerita itu ini semasa dizaman sekolah tue yang buat saya dan kawan baik saya yang sorang nie masih lagi keep in touch sampaila sekarang even sekarang dia sudah pun jauh melanjutkan pelajaran ke Australia.. =)

Saya akhirnya menamatkan zaman persekolahan di Sek.Men.Sains Muzaffar Syah pada tahun 2006..

Sekarang sudah hampir 5 tahun berlalu..

Haih rasa macam masih baru je terima result SPM..

Hmm..

Yang sebenarnya mood untuk becerita tentang kisah-kisah lama ini timbul akibat daripada pelawaan kawan-kawan lama dari SMA untuk berbuka puasa bersama-sama pada hari sabtu ini. Ramai antara mereka yang sudah hampir 8 tahun saya tak jumpa dan beberapa orang antara mereka yang saya dimaklumkan sudah pun mendirikan rumahtangga..

Ok lah. Sampai di sini dahulu ye. Assalamualaikum.

Monday, August 15, 2011

Corat Coret

Assalamualaikum.

Kelmarin saya baru menerima satu 'perutusan' daripada pihak universiti. Owh. Keputusan peperiksaan rupanya. Tapi kali ini ada catatan pula di slip peperiksaan tersebut..



"KEPUTUSAN INI ADALAH TERTAKLUK KEPADA KELULUSAN SENAT. NAMA DI ATAS AKAN DIGUNAKAN PADA SKROL IJAZAH. JIKA BERLAINAN, HUBUNGI SEKSYEN PEPRIKSAAN SECEPAT MUNGKIN. KONVOKESYEN AKAN DIADAKAN PADA 3 OKTOBER  - 8 OKTOBER 2011. BUTIR-BUTIR KONVOKESYEN AKAN DIMAKLUMKAN KELAK."



Sekali rasa macam tak percaya. Betul ke saya sudah mahu grad nie? Huhu. Cepat betul masa berlalu. Rasa macam baru saja menginjakkan kaki ke universiti pada 4 tahun yang lalu..

Ok lah. Saya mahu tidur sekarang. Selamat Malam semua. Assalamualaikum. =)

Saturday, August 13, 2011

At This Moment

Image from Google



Hopefully this happy looking picture from Google will inspire me to be much much STRONGER~

Friday, August 5, 2011

Mudahnya Mendapat Pahala

Assalamualaikum.

Hari ini sudah masuk hari ke-5 umat islam mengerjakan ibadah puasa. Sejak isnin yang lalu, lepas saja solat asar, kira-kira dalam pukul 5 petang, saya perlu "punch card" di dapur. Mula-mula buka peti ais capai apa bahan yang ada dan kemudian mula memasak. Dalam bab masakan, saya rasa saya masih lemah dalam bab memasak gulai. Baru minggu lepas saya betul-betul belajar dari mak masak gulai kari dan lemak cili api. Tapi semalam ayah request masak asam pedas pula. Berdebar-debar jugak semalam. Sebab belum pernah try masak sorang-sorang gulai asam pedas. Nasib baik semalam berjaya jugak ingat-ingat kembali bahan-bahan yang mak selalu letak dan step-step yang mak selalu buat untuk buat gulai ini. Sukatan bahan-bahan pun saya main agak-agak je. Hasilnya saya sendiri pun kurang pasti. Nervous jugak tengok reaksi ayah lepas makan lauk tue. Mana tahu terbantut selera makan ayah lepas rasa lauk saya yang tak sedap. Tapi akhirnya rasa puas hati dan gembira bila tengok ayah  makan macam laju je. Hehe.

Sekian celoteh saya pada pagi ini~

Sabda Nabi S.A.W : "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya (orang yang berpuasa itu)". Al Baihaqi dan Ibn Khuzaimah. 

Rajin-rajinla menyediakan makanan untuk rakan-rakan/ahli keluarga yang ingin berbuka puasa ye ~

Assalamualaikum.

Friday, July 29, 2011

Salam Ramadhan =)

Picture taken from here

*Yeay hari sabtu nie sudah mahu membeli belah baju raya with my sisters ^_^

*Puasa kali ini berbuka berdua je dengan ayah?Isk..


Thursday, July 28, 2011

Transit Aliran Ringan & Nilai Kemanusiaan Yang Hilang

Assalamualaikum..

Beberapa hari yang lalu, saya telah menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan atau juga dikenali sebagai LRT (Light Rail Transit) daripada Stesen Salak Selatan untuk ke Stesen Universiti. Waktu itu saya keluar dari rumah abang saya lebih kurang jam 7.15 pagi, dan hari itu merupakan hari khamis, hari orang bekerja. Memang dah dijangkakan, kat stesen LRT ramai yang berpusu-pusu, mungkin mahu cepat ke tempat kerja, tempat belajar, sekolah dan sebagainya. Setelah beberapa minit LRT yang ditunggu-tunggu pun tiba. Ramai sangat orang. Yang tengah beratur nak masuk LRT ramai, yang dah sedia ada dalam LRT pun ramai.

Dalam ramai-ramai tue saya tengok kebanyakan orang yang mahu masuk ke dalam LRT berbaris terlebih dahulu. Memang sikap yang wajar dicontohi dan dikekalkan. Namun begitu, keadaan disebaliknya berlaku apabila LRT sudah sampai. Awal-awal tadi elok saja berbaris, tetapi bila LRT sudah sampai, kebanyakan yang beratur tadi berasak-asak dan potong baris untuk masuk ke dalam LRT. Nasib saya baik kerana sempat memboloskan diri ke dalam LRT walaupun sebentar tadi terasa diri ditolak-tolak dari belakang. Nasib baik juga sebab saya ada galas beg laptop kat belakang. Huhu. 

Sampai di satu stesen, saya tak ingat stesen apa tapi sebelum sampai Stesen Masjid Jamek la, saya yang sudah berada di dalam LRT melihat ramai orang sedang menunggu untuk menaiki LRT, dan ada juga penumpang dari dalam LRT yang mahu keluar. Oleh kerana keadaan dalam LRT yang agak sempit kerana dipenuhi dengan manusia, saya pun keluar dari dalam LRT untuk memberi laluan kepada penumpang yang mahu keluar. Mahu keluar dari pintu LRT itu tidak semudah yang disangka, saya terpaksa berasak-asak dengan orang dari luar yang telah menutup laluan untuk penumpang keluar dari dalam LRT dan mereka bukan saja menutup laluan keluar, malah turut bertolak-tolak untuk masuk ke dalam LRT tanpa menunggu penumpang yang dari dalam LRT keluar terlebih dahulu. Siap tahan lagi pintu LRT tak bagi dia tutup kerana mahu masuk ke dalam LRT yang sudah sedia penuh itu. Nasib baik ada seorang polis datang meleraikan situasi yang boleh kata agak kelam kabut. Sudahnya, saya yang pada mulanya sudah berada di dalam LRT dan ingin memberi laluan kepada penumpang dari dalam LRT untuk keluar tidak sempat untuk masuk semula ke dalam LRT. Isk....='(

Tapi tak kisah pun sebenarnya sebab LRT datang 5 minit sekali kalau tak silap. Tak lama lepas tue ada LRT lain yang datang, jauh lebih selesa dan kurang manusia di dalamnya. Cuma saya tergamam melihat situasi yang saya ceritakan sebentar tadi. Kalau dalam situasi yang saya ceritakan tadi pun sudah begitu keadaannya, bagaimana nanti kalau mahu berdepan dengan situasi-situasi yang lebih genting? Mampukah kita untuk menjadi seperti di negara Jepun yang mana rakyatnya berbaris dan mengikut giliran untuk mendapatkan bantuan makanan walaupun dalam keadaan genting ketika dilanda tsumani beberapa bulan yang lalu? Atau kita mahu menjadi rakyat yang tiada nilai kemanusiaan, sikap bertolak ansur dan hanya mementingkan diri sendiri? 

Tepuk dada dan tanya diri sendiri la ye..

Minta maaf jika penulisan saya tak berapa baik tapi harapnya dapat sampaikan mesej yang berguna untuk pembaca. Peringatan di atas juga adalah untuk diri saya sendiri. Saya tahu bukan semua pengguna LRT mempunyai sikap negatif seperti yang saya nyatakan tadi, tapi hakikatnya masih ada lagi segelintir yang bersikap sedemikian terutama pada waktu-waktu genting seperti waktu pagi iaitu antara pukul 7 hingga 8 pagi. Ok lah, rasanya itu saja coretan untuk kali ini. Assalamualaikum =)

Wednesday, July 27, 2011

We Did It. Alhamdulillah.

Assalamualaikum..

Semalam saya baru saja diberitahu oleh kawan yang result tesis sudah keluar. Mula-mula kawan cakap, budak-budak petroleum semua result sama. Kenyataan itu masih belum bisa menangkis perasaan gundah gulana saya. Tapi tak lama lepas tue seorang kawan lagi call bagitahu result. Apa yang saya boleh kata, alhamdulilah. Keputusan yang saya dapat rasanya memang berbaloi dengan usaha yang telah saya lakukan. Tak sia-sia rasanya saya tidak tidur malam beberapa hari untuk menyiapkan projek tesis. Terima kasih tak terhingga kepada supervisor saya Dr.Ralph L.Kugler yang memang banyak membimbing sepanjang tempoh menyiapkan projek tersebut. Dr.Ralph pada hakikatnya seorang yang sangat sangat sangat particular, dan itu yang membuatkan saya pernah beberapa kali down setelah hasil kerja saya di reject oleh beliau. Tapi alhamdulilah, setelah banyak kesilapan diperbaiki hasil tunjuk ajar Dr.Ralph, saya sangat bersyukur dengan markah yang diperolehi untuk subjek bernilai 8 kredit ini. =) Tak lupa juga kepada readers, Prof Dr.Wan Hasiah Abdullah, Dr. Mohamed Ragab Abd El-Shalaby yang juga banyak membantu, memberi idea dan memberi markah untuk projek saya. Juga kepada keluarga dan sahabat handai yang banyak menyokong untuk menyiapkan projek ini. TERIMA KASIH. (ini da macam buat acknowledgement plak kan :P ) 

*To Syira, Boey, Si Ying...we did it guys. Alhamdulilah =)

Fasa Baru

Assalamualaikum..

Kini secara tak rasminya saya sudah pun menamatkan pengajian ijazah sarjana muda. Jauh disudut hati memang mahu sambung belajar, masih belum sedia lagi rasanya untuk bekerja, tapi tengokla macam mana nanti. Kalau sambung master pun, bulan 3 tahun depan baru saya mula daftar. Sekarang mahu rehat-rehat di rumah dulu =)

Kehidupan kini memang rasa lain. Walaupun cuti, tak ada lagi nak kena fikir fasal assignment, test etc. Rasa lapang fikiran. Kini dapat rasakan perasaan tengok tv or movie tanpa rasa bersalah. Haha. Itula saya, kalau ada kerja tak settle memang perasaan tak tenteram. Lagi-lagi kalau dapat assignment yang kena buat waktu cuti raya, sampai family pon naik rimas tengok saya buat homework dan study kat rumah bajet macam saya sorang jela yang pena masuk universiti. Hehe. Tapi raya kali ini mesti syok, haruslah menikmati dengan sepuas-puasnya =)

Sekarang juga adalah masa untuk memantapkan skill memasak. Hehe. Lagi-lagi sekarang mak tiada di rumah, jadi hari-hari perlu memasak untuk ayah. Ayah saya biasanya perlu ada sarapan, lunch, minum petang dengan dinner on time. Kalau ayah tidur lewat kadang-kadang dia mahu supper. Ini semestinya adalah sangat bertentangan dengan cara hidup saya di UM yang mana sarapan dengan lunch selalu digabungkan bersama ataupun lunch pukul 4 petang, dinner pukul 10 malam or bila-bila saja la, baik pukul 12 malam or 1 pagi, hati tergerak untuk makan dan perut terasa lapar barula saya akan makan. Langsung tak berdisiplin kan :P

Banyak lagi aktiviti yang nak dibuat kat rumah sebenarnya, bila da petang-petang macam nie, selalu saya akan ke rumah nenek. Semalam petang sibuk mengait rambutan, payah jugakla sebab rambutan yang tinggal tinggi-tinggi so tengkok sakit & lenguh bila dongak ke atas lama-lama. Nenek saya cakap, "dah la tue na, tesekso nampak eh...". Hehe. Selalunya petang-petang Husin (siapa Husin?) datang rumah nenek, syok dapat main dengan dia. Bila tengah dukung-dukun Husin,

Pak Ngah : "Ha da buleh da tue na...".
Saya : "Da buleh apo?" (Buat-buat tak paham. Hehe.)

Waktu bercuti di kampung ini, saya juga perlu berfikiran kreatif dan kritis (cewah macam KBKK la plak,haha) untuk menangkis soalan-soalan nakal daripada mak, datuk, nenek dan sedara-mara yang lain. Boleh kata selang dua hari pasti ada soalan-soalan sebegini menerpa cuping telinga eden nie. Pantang ada peluang je, mesti kena punya.

Contoh..

Kes 1
Saya : Bilik-bilik kat rumah nie semuanya dah lawa. Bilik nana je pakai perabot lama, jom beli perabot baru nak mak?

Mak : "Cari orang dulu...dah ada orang, semua mak tukar!"

Saya : (??)

Kes 2
Saya : "Mak baju-baju nana da tak muat lagi nak masuk dalam almari nie, macam mana?"

Mak : "Ha tula, nana kalau da ada orang sekarang nie jugak mak pegi beli almari baru"

Saya : (Erk. Apa kaitan orang ngan almari??Huhu)

Kes 3
Saya : "Wan!!rambutan nie tinggi-tinggila, tak sampai nie ha nana nak gait!!"

Wan : "Tak sampai tu dah la nana. Ekau kalau da ado abang kan sonang, buleh harap an dio gait rambutan nie ha.."

Saya : (Huih, tak dapat gait rambutan pun boleh dikaitkan dengan isu tue. Huhu)

Begitulah kisahnya. Bukan senang tau nak menangkis pertanyaan-pertanyaan macam tue. Kesimpulannya, kebolehan untuk menukar topik lain setiap kali pertanyaan sebegitu ditujukan amatlah perlu ada dalam diri. Haha =)

Ok lah. Rasanya itu saja kisah fasa baru hidup saya. Ada apa-apa yang menarik nanti saya kongsikan lagi ya. Assalamualaikum..

Wednesday, July 6, 2011

UNTUK KAMU-DARIPADA SAYA YANG HAIRAN

Entri kali ini barangkali agak bias sedikit kerana entri kali ini dicipta untuk menyampaikan apa yang tersirat di hati saya kepada seorang wanita yang sangat istimewa. Ganti nama KAMU pada entri ini dituju khas buat si dia yang disayangi dan dihormati..

Kepada KAMU..

Manusia normal macam saya patut ada rasa hairan..

Tak faham apa yang KAMU mahu sebenarnya..

Bila diingat-ingat kembali, perkenalan kita juga bermula dari KAMU..

Dan hancur hati saya dicaci dihina juga datang dari KAMU..

Bahkan orang yang mempermain-mainkan ibu saya juga KAMU..

Orang yang menipu saya dengan mereka-reka cerita yang entah apa-apa juga KAMU..

Orang yang menghantar emel pada saya dengan fitnah dan cerita yang entah apa-apa juga KAMU..

Orang yang add dan memerli sahabat saya di gtalk juga KAMU..

Orang yang add rakan saya di facebook juga KAMU..

Dan orang yang sering meninggalkan jejak di shoutbox blog saya dengan kata-kata pedas dan fitnah juga KAMU.. (credit untuk KAMU kerana bijak menggunakan nickname yang berbeza-beza)

Ya, saya tahu itu KAMU, tapi saya memilih untuk buat-buat tak tahu..

Ha janganla risau..saya tak marah..

Tapi hakikatnya saya kasihan melihat KAMU begitu..

Melihatkan KAMU beriya-iya macam tu..

Rasa macam penat je melihat KAMU begitu..

Terserahlah kepada KAMU jika itu bisa membuatkan KAMU berasa gembira dan tenang..

Tapi hairan la..

Masih tidak jelas lagikah kelemahan kelemahan saya pada KAMU..?

Buat penat saja KAMU kisahkan orang-orang seperti saya ini..

Bukankah dahulu KAMU sendiri sudah tahu malah mengakui saya memang sudah jelas nyata jauh lebih teruk dan hina dari KAMU?

Yup, KAMU memang tidak salah..

Saya memang banyak kelemahan..

Jadi apa lagi..?

Itu yang buat saya masih tak paham..

Jadi harapnya ini merupakan pesanan terakhir dari saya untuk KAMU..dan jangan risau kali ini tiada hadith untuk tatapan KAMU..

Janganlah diikut sangat perasaan KAMU itu..

Sama-samalah kita muhasabah dan perbetulkan diri..

Kerana hakikatnya kita manusia semua sama saja, akhirnya akan kembali ke tempat yang sama juga..

Saya yakin entri ini akan menjadi tatapan KAMU tak lama lagi..

Jadi harap KAMU faham..

~Salam sayang untuk KAMU~

Saturday, June 25, 2011

Tips atasi kemurungan

Assalamualaikum.


Kemurungan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satu di antaranya ialah disebabkan oleh apa-apa fenomena yang berlaku secara DRASTIK di dalam diri. Tindakan pantas dan bijak perlu segera dilakukan untuk mengelakkan diri dari terus dibelenggu kemurungan kerana kemurungan ini bukan sesuatu penyakit yang boleh dianggap remeh kerana ianya bisa meragut ke'efektif'an hidup seharian seseorang. Sebentar tadi saya ada search tentang Tips Atasi Kemurungan ini, dan ini yang saya jumpa:

• Belajar menjadi tenang dan bersabar 
• Jangan terlalu high expectation sehingga sukar dicapai 
• Perancangan tugas agar teratur 
• Jangan terlalu mengharap diri sendiri 
• Elakkan bersendirian 
• habiskan masa dengan orang tersayang 
• Libatkan diri dengan aktiviti yang membolehkan anda berfikiran positif 
• Setiap keputusan yanhg berat harus dibincang dengan pihak kedua, dan melihatnyasecara objektif.
 Sumber : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Klik sini
Tips di atas rasanya ada yang kurang, dekatkan diri pada Allah. Itu yang lebih penting. Bukankah ujian itu datangnya dari Dia untuk mendekatkan diri kita kepadaNya? Selama ini dah banyak sangat lalai. Hidup sudah jauh menyimpang dari landasanNya. Sekali sekala ditimpa ujian, cubalah ingat-ingat kembali kesilapan kita yang lalu, tidak perlu menyalahkan takdir. Kerana hakikatnya, Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya, sebaliknya manusia itu sendiri yang menzalimi diri mereka. 

Google image


Friday, June 24, 2011

SENYUM

Assalamualaikum.


Orang kata senyum penawar duka. Senyum juga satu sedekah. Senyumlah seindah suria supaya terlerai kekusutan dan dapat menyejukkan hati. Orang yang berfikiran positif rajin tersenyum dan disenangi orang disekeliling. Senyum juga merupakan satu anugerah dari Allah, gunakanlah sebaik-baiknya selagi kita mampu tersenyum. Cuba bayangkan apabila hidup ini tanpa senyuman? Dan yang paling penting, bersyukurlah sebab kita masih mampu tersenyum walaupun di dalam hati sedang bergundah-gulana, kecewa dan dilambung pelbagai masalah... 

"SENYUMLAH DAN SABARLAH"

Wednesday, June 15, 2011

Sebelum apa-apa berlaku [episod luahan hati]

Assalamualaikum.

Hari ini saya telah berjaya menghabiskan masa di hadapan laptop dengan cemerlang. Bukan buat kerja. Tetapi main tekan-tekan buka blog sana sini, tengok video di youtube dan sebagainya. Nota-nota, buku log dan apa-apa sahaja lah yang berkaitan dengan tesis hanya mampu ditenung tanpa ada apa-apa perasaan untuk menyiapkannya. Padahal semalam selepas jumpa Dr.Ralph, banyak pembetulan slides untuk pembentangan masa seminar yang kena buat. Mungkin jadi macam nie sebab stress. MUNGKIN. Sebab sejak kembali ke UM pada 18 Mei 2011 hari tu sehingga hari ini, cuma sekali saja saya pernah keluar dari pintu pagar UM nie untuk pergi ke Pasar Malam Kerinchi. Masa-masa yang selainnya banyak dihabiskan di dalam bilik dan workstation. Patut pun rasa stress semacam je sekarang nie. Jadi sebelum apa-apa berlaku (hehe suspen je) sekarang perlu cari jalan penyelesaian macam mana nak hilangkan stress nie. Setelah menelefon parents di kampung, dah jumpa dah satu jalan penyelesaian. Iaitu...perlu pulang ke rumah la. Mana lagi nak pergi. Huhu.

Jadi kalau tiada apa-apa insyaallah weekend ini akan kembali ke kampung halaman. Yeay  =)

Sekian entri ringkas. Minta maaf kalau entri kali ini tidak memberi sebarang faedah kepada pembaca. :'(

Jodoh ditangan Allah


"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah 
(Az-Zariyat, ayat 49)


“Sesungguhnya yang demikian itu (jodoh dalam pasangan suami dan isteri) terdapat pelajaran-pelajaran (dari tanda-tanda Kekuasaan Allah) bagi siapa saja yang berpikir.” (Ar-Rum, ayat 21)


Wednesday, June 8, 2011

Hari-hari mulut sudah di 'set' untuk mengeluh

Assalamualaikum.

Kadang-kadang pernah kita mengeluh bila tak dapat hidup senang seperti orang lain. Tengok kawan-kawan lain nak beli barang-barang branded atau makan kat restoran mahal-mahal petik jari saja. Sewaktu belajar di IPT lagi sudah memiliki kereta sendiri. Ada pula tu melancong bersama kawan-kawan ke oversea lagi. Wah..mereka itu betul-betul lain dari yang lain. Pasti keluarganya kaya raya. Sedangkan yang kita pula asyik berkira-kira duit. Pagi bancuh air dalam bilik. Tengahari makan budget dalam RM4, tapau nasi dan lauk, kemudian boleh buat makan dua kali, separuh makan untuk tengahari dan separuh lagi untuk dinner. "Selamat poket aku.."

Ada juga di antara kita yang sering mengeluh bila memilik paras rupa yang bagi mereka kurang rupawan, jelitawan dan sebagainya. Sentiasa melihat bahawa orang lain disekeliling sentiasa saja lebih daripadanya. Sedangkan diri kita, macam-macam cacat cela dan segala kelemahan semuanya milik kita. Tidak seperti orang lain yang serba serbi cukup. Lebih mengharukan bila sudah mula merasa rendah diri untuk berhadapan dengan rakan-rakan atau saudara mara. "Aku sedar aku siapa.."

Tidak kurang juga ada yang sentiasa mengeluh bila melihat orang lain lebih berjaya dari kita. Dalam pelajaran dia lah yang paling bijaksana. begitu juga dalam pekerjaan, dia lah yang paling kerap mendapat pujian daripada bos. Sudahlah cantik/kacak, bergaya pula tu, dalam pekerjaan pula tidak ada kurangnya, pantas dan cekap !Jika dalam pelajaran, kita lihat dia tidak seperti kita yang perlu bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran untuk dapat result yang baik, sedangkan dia hanya perlu study last minute saja sudah memadai, pointer exam pasti excellent punya lah..

Akhirnya kita hanya mampu mengeluh mengeluh mengeluh dan mengeluh. Langsung tidak pernah beri ruang pada hati dan fikiran kita untuk merasai dan memikirkan sejenak akan kelebihan dan nikmat-nikmat yang banyak sangat dah Allah beri pada kita. Tidak perlu pergi jauh, nikmat kesihatan itu saja sudah memadai untuk kita rasa bersyukur dan hargai sangat kehidupan yang Allah beri pada kita. Bayangkan saja, orang-orang yang berpenyakit kronik. Ada antara mereka yang memerlukan kos rawatan yang tinggi untuk merawat penyakit tersebut. Ada yang mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit malaysia. Bayangkanlah, berapa banyak yang perlu dilaburkan semata-mata untuk menjadi sihat. Sedar atau tidak, kita yang sihat ini sebenarnya memiliki aset yang sangat besar. Lihatlah betapa mahalnya nilai nikmat sihat itu. Tidak ternilai rasanya. Orang lain sanggup bergolok gadai untuk mendapatkan kesihatan yang baik sedangkan kita yang sihat ini nak rasa syukur dengan nikmat sihat pun susah. Termasuklah saya. 


Kesimpulannya, BERSYUKURLAH DAN HARGAILAH dengan apa yang ada pada diri kita.


Berikut saya sediakan video yang diambil dari sebuah drama Jepun bertajuk One Litre of Tears yang mengisahkan seorang gadis yang sangat tabah berjuang melawan penyakit degeneratif saraf. Ia merupakan kisah benar kehidupan penulis asal diari seorang pesakit degeneratif saraf ini iaitu Aya Kitou yang kini sudah pun meninggal dunia. Degeneratif saraf merupakan satu penyakit yang mampu mengganggu fungsi urat saraf di dalam badan secara perlahan-lahan sehinggalah seseorang pesakit itu tidak mampu bercakap, bergerak dan juga mampu melumpuhkan jantung secara tiba-tiba. Sedih ceritanya tetapi mampu memberi banyak pengajaran. Jika kita rasa kita ini terlalu banyak sangat ditimpa ujian dalam hidup sampai rasa tak mampu dah nak hadapi, sedarlah bahawa ada insan lain yang lebih getir lagi ujian hidup mereka. Sampai di sini dahulu. Assalamualaikum.