Monday, November 1, 2010

Braces oh Braces

Assalamualaikum kepada pembaca..

Hari ini bermulalah sudah study week yang ditunggu-tunggu. Cuti study week semester ini agak istimewa kerana digabungkan dengan 2 minggu cuti khas semester. Jadinya, semua pelajar mempunyai masa 3 minggu cuti untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan semester akhir nanti. Mudah-mudahan cuti ini bermanfaat untuk kita semua insyaallah...^_^

Post saya pada kali ini ialah untuk menunaikan janji saya pada 'Lai' iaitu seorang pembaca blog ini yang ingin mengetahui sedikit sebanyak pengalaman saya memakai BRACES.

*minta maaf ye 'Lai' sebab lambat sikit post tentang ni


(Ini bukan gigi saya...:) )

Pada bulan Disember akan datang ini genaplah 2 tahun saya memakai braces. Bercerita tentang pengalaman awal-awal memakai braces ini dulu memang agak menyakitkan. Lebih kurang 2 minggu pertama pemakaian braces ini saya tidak boleh memakan makanan yang keras (pada ketika ini nasi juga dianggap keras ya). Hanya bubur atau nasi lembik saja yang menjadi menu harian. Kadang-kadang ada juga mak dan kakak saya memasak makanan kegemaran seperti nasi ayam madu dan nasi kerabu, rasa rugi sangat tak makan, dah la dapat balik ke kampung pun jarang-jarang, jadi apa yang saya buat ialah saya siatkan isi ayam tu halus-halus dan bila dah masuk dalam mulut tu pandai-pandaila sama ada nak telan terus ke atau nak hisap bagi lembik dan lain-lain. Apa yang pasti, makanan kegemaran yang biasa dapat dihabiskan dalam masa beberapa minit saja satu pinggan telah mengambil masa hampir satu jam untuk dihabiskan. Mulut, gigi, gusi semuanya terasa sengal-sengal dan sakit yang amat. Doktor saya ada juga sediakan 'pain killer' untuk dimakan jika rasa sakit tu benar-benar tak tertanggung.

Tentang rawatan pula, sebulan sekali saya perlu berjumpa dengan doktor supaya dia dapat melihat perkembangan gigi saya dan menukar 'wayar' didalam mulut saya mengikut kesesuaian keadaan gigi ketika itu. Ada ketikanya saya perlu memakai getah, dan jumlah getah yang paling banyak saya pernah pakai di dalam mulut ialah sebanyak 5 getah. Setiap pagi getah ini perlu saya ganti sendiri dengan menggunakan getah baru yang dibekalkan. Malang sekali, 2 daripada getah yang pernah saya pakai telah saya telan dengan tidak sengaja. Huhu, mula-mula tu risaula jugak takut jadi apa-apa. Tetapi kata doktor..."tak pe...getah tu halal..." ^_^

Tempoh pemakaian braces pula adalah bergantung pada individu, jika cepat gigi mereka tersusun maka cepatlah mereka boleh menanggalkan braces dan sebaliknya. Kebiasaannya tempoh pemakaian braces ialah antara 2 ke 3 tahun. Tetapi sekarang ada kaedah yang lebih cepat lagi tetapi kosnya pula lebih tinggi.

Kaedah untuk menjaga gigi yang ada braces ini tidaklah serumit mana. Pemakai braces boleh mendapatkan berus gigi khas untuk kes orthodontic seperti gambar di bawah. Ada 2 jenis yang biasa saya pakai iaitu satu yang jenis Oral-B Ortho Brush dan lagi satu jenis Interdental Kit yang terdiri dari dawai dan berus-berus halus untuk membersihkan celah-celah braces. Oral-B Ortho Brush biasanya saya beli di klinik gigi dengan harga RM7 tetapi ianya boleh didapatkan dari farmasi Guardian/Watson dengan harga RM8 kalau tak silap. Untuk yang Interdental Kit juga boleh didapatkan di farmasi Guardian/Watson dengan harga Rm11.



Oral-B Interdental Kit




Oral-B Ortho Brush & Interdental Kit




Interdental Kit membersih celah-celah gigi


Selain itu ubat kumur-kumur atau 'mouthwash' dan floss juga penting untuk pemakai braces. Maklumlah, bila gigi sudah dipenuhi dengan 'wayar' dan 'getah' kadang-kadang berus gigi saja tidak sampai untuk membersihkan di celah-celah gigi yang sempit, jadi ubat kumuran seperti Listerine atau yang biasa saya gunakan iaitu Colgate Plax Multiprotection Mouthwash boleh digunakan hari-hari selepas memberus gigi.

Colgate Plax Multiprotection Mouthwash



Floss sudah tentu sesuatu yang sangat penting untuk pemakai braces. Biasanya saya memang akan letakkan floss di dalam beg untuk di bawa ke mana-mana. Floss yang biasa saya gunakan ialah Dental Floss Toothpick yang biasanya boleh dibeli dalam 3 kotak berkembar dan dalam setiap kotak terdapat 50 keping dengan harga kalau tak silap saya dalam RM5 atau RM6.



Dental Floss Toothpick


Antara perkara yang agak mencabar bagi pemakai braces bagi saya ialah sewaktu makan. Lebih-lebih lagi apabila diajak makan bersama rakan-rakan. Huhu. Ini kerana, sewaktu makan makanan akan mudah terperangkap diruang-ruang kosong yang terdapat pada braces. Makanya pemakai braces dinasihatkan supaya kurangkan bercakap sewaktu makan. Mungkin anda hanya boleh mengangguk atau menggeleng jika ditanya apa-apa sewaktu makan. Atau pesan saja lah awal-awal pada rakan-rakan anda sebelum memulakan makan jika mereka ada apa-apa yang nak dintanyakan pada anda kerana bila anda sudah mula makan sebarang pertanyaan tidak akan dilayan lagi. Apa-apa pun pandai-pandailah untuk anda menyesuaikan diri dengan keadaan itu, kerana apabila sudah berada di situasi itu sendiri barulah kita tahu apa yang perlu dilakukan.

Rasanya itu saja yang dapat saya kongsikan dengan pembaca berkenaan dengan Braces ini. Berkenaan dengan kos, saya difahamkan kos untuk pemakaian braces ini berbeza-beza bagi klinik-klinik yang berlainan. Jika anda perlukan maklumat lanjut eloklah bertanya sendiri kepada yang lebih pakar atau klinik-klinik gigi yang berkaitan ye.

Sekian..:)