Assalamualaikum..
Beberapa hari yang lalu, saya telah menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan atau juga dikenali sebagai LRT (Light Rail Transit) daripada Stesen Salak Selatan untuk ke Stesen Universiti. Waktu itu saya keluar dari rumah abang saya lebih kurang jam 7.15 pagi, dan hari itu merupakan hari khamis, hari orang bekerja. Memang dah dijangkakan, kat stesen LRT ramai yang berpusu-pusu, mungkin mahu cepat ke tempat kerja, tempat belajar, sekolah dan sebagainya. Setelah beberapa minit LRT yang ditunggu-tunggu pun tiba. Ramai sangat orang. Yang tengah beratur nak masuk LRT ramai, yang dah sedia ada dalam LRT pun ramai.
Dalam ramai-ramai tue saya tengok kebanyakan orang yang mahu masuk ke dalam LRT berbaris terlebih dahulu. Memang sikap yang wajar dicontohi dan dikekalkan. Namun begitu, keadaan disebaliknya berlaku apabila LRT sudah sampai. Awal-awal tadi elok saja berbaris, tetapi bila LRT sudah sampai, kebanyakan yang beratur tadi berasak-asak dan potong baris untuk masuk ke dalam LRT. Nasib saya baik kerana sempat memboloskan diri ke dalam LRT walaupun sebentar tadi terasa diri ditolak-tolak dari belakang. Nasib baik juga sebab saya ada galas beg laptop kat belakang. Huhu.
Sampai di satu stesen, saya tak ingat stesen apa tapi sebelum sampai Stesen Masjid Jamek la, saya yang sudah berada di dalam LRT melihat ramai orang sedang menunggu untuk menaiki LRT, dan ada juga penumpang dari dalam LRT yang mahu keluar. Oleh kerana keadaan dalam LRT yang agak sempit kerana dipenuhi dengan manusia, saya pun keluar dari dalam LRT untuk memberi laluan kepada penumpang yang mahu keluar. Mahu keluar dari pintu LRT itu tidak semudah yang disangka, saya terpaksa berasak-asak dengan orang dari luar yang telah menutup laluan untuk penumpang keluar dari dalam LRT dan mereka bukan saja menutup laluan keluar, malah turut bertolak-tolak untuk masuk ke dalam LRT tanpa menunggu penumpang yang dari dalam LRT keluar terlebih dahulu. Siap tahan lagi pintu LRT tak bagi dia tutup kerana mahu masuk ke dalam LRT yang sudah sedia penuh itu. Nasib baik ada seorang polis datang meleraikan situasi yang boleh kata agak kelam kabut. Sudahnya, saya yang pada mulanya sudah berada di dalam LRT dan ingin memberi laluan kepada penumpang dari dalam LRT untuk keluar tidak sempat untuk masuk semula ke dalam LRT. Isk....='(
Tapi tak kisah pun sebenarnya sebab LRT datang 5 minit sekali kalau tak silap. Tak lama lepas tue ada LRT lain yang datang, jauh lebih selesa dan kurang manusia di dalamnya. Cuma saya tergamam melihat situasi yang saya ceritakan sebentar tadi. Kalau dalam situasi yang saya ceritakan tadi pun sudah begitu keadaannya, bagaimana nanti kalau mahu berdepan dengan situasi-situasi yang lebih genting? Mampukah kita untuk menjadi seperti di negara Jepun yang mana rakyatnya berbaris dan mengikut giliran untuk mendapatkan bantuan makanan walaupun dalam keadaan genting ketika dilanda tsumani beberapa bulan yang lalu? Atau kita mahu menjadi rakyat yang tiada nilai kemanusiaan, sikap bertolak ansur dan hanya mementingkan diri sendiri?
Tepuk dada dan tanya diri sendiri la ye..
Minta maaf jika penulisan saya tak berapa baik tapi harapnya dapat sampaikan mesej yang berguna untuk pembaca. Peringatan di atas juga adalah untuk diri saya sendiri. Saya tahu bukan semua pengguna LRT mempunyai sikap negatif seperti yang saya nyatakan tadi, tapi hakikatnya masih ada lagi segelintir yang bersikap sedemikian terutama pada waktu-waktu genting seperti waktu pagi iaitu antara pukul 7 hingga 8 pagi. Ok lah, rasanya itu saja coretan untuk kali ini. Assalamualaikum =)
No comments:
Post a Comment